JUMAAT, 21 FEBRUARI – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan menerima baik cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di dalam kampus. Beliau memuji idea yang dilontarkan oleh Presiden MPP UMS, Fandyi Sanizan Jurup yang dilihat mampu meringankan beban para pelajar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini. “Cadangan yang diberikan oleh saudara Fandyi itu sangat baik dan ia harus dipertimbangkan di peringkat kementerian,”katanya. Ketika mengutarakan cadangan itu, Fandyi turut memberitahu bahawa pengujudan KR1M penting untuk menjaga kebajikan para mahasiswa agar tidak tertindas dengan kenaikan harga barang secara mendadak. “Kenaikan harga barang-barang di pasaran saya kira mampu menindas golongan mahasiswa. Oleh itu, saya selaku wakil mahasiswa UMS memohon pihak kementerian agar dapat mempertimbangkan cadangan yang kami kemukakan,” ujar beliau pada majlis yang berlangsung di kediaman rasmi pemimpin nombor dua negara itu. Fandyi hadir bersama rombongan UMS yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Datuk Hj. Kasim Hj. Md Mansur serta Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Mohd. Raffie Hj. Janau. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hj. Yahya Hussin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman. Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama Pemimpin Mahasiswa IPTA bertujuan meraikan MPP baharu universiti awam di seluruh negara serta pengurusan universiti yang telah banyak membantu dalam pembangunan sahsiah pelajar. ZMD Bahagian Media dan Citra Jabatan Canselori
Related Posts :
- Back to Home »
- Pandangan Presiden MPP UMS Dapat Perhatian TPM (Dipetik dari PORTAL RASMI UMS)